MENGAPA INTERNET PORNOGRAFI MENJADI PILIHAN?

Saat ini, masyarakat kita mula hidup dalam tekanan yang sangat berbeza tahapnya berbanding 20 tahun yang lalu.

Tekanan ini berbentuk stress, kesakitan perasaan, kemurungan, ketidakstabilan emosi di tempat kerja, sekolah, universiti, rumah dan sebagainya. Pornografi atau seks siber dan onani menjadi pilihan kerana ia memberikan jaminan ketenangan sementara  terhadap situasi psikologi menerusi sistem saraf. 

Maka, tidak peliklah, mengapa selepas pulang dari situasi yang menekan, mereka mencari internet sebagai tempat untuk melepaskan tekanan. Inilah salah satu cara hidup millenium yang dilakukan untuk kembali mencapai tahap kemuncak yang paling kuat (peak experience) sebagai alasan untuk keluar dari situasi negatif (escapism).

Dadah Percuma Di Internet

Jika anda mengikuti jalan cerita individu yang ketagihan kepada heroin atau apa sahaja, saat
permulaan mereka terjebak dengan situasi ini adalah menerusi pengenalan dadah secara percuma. Ia mungkin dari kenalan dekat yang memberikan kepadanya. Apabila 'sample' percuma ini dicuba berkali-kali dan akhirnya mula merasakan ketagihan, maka disinilah aktiviti jual beli berlaku.

Internet porn bekerja sama seperti ketagihan pada bahan dadah. Ia berlaku di dalam otak individu yang terlibat. Di internet, terlalu banyak video atau gambar pornografi yang sengaja ditaburkan secara PERCUMA! Ia adalah selamanya percuma diberikan kepada pengguna internet. Bekalan ini cukup untuk memastikan peminatnya memenuhi desakan yang dialami. 

Namun yang demikian, pada satu tahap, mereka yang ketagihan pasti memerlukan dos yang berbeza. Dalam pornografi, bahan percuma mula menjadi bosan dan dianggap biasa. Dos yang tinggi diperlukan dan bahan ini boleh diperolehi dengan pembelian! Tidak lagi percuma!