TSUNAMI KETAGIHAN PORNOGRAFI

TSUNAMI ADALAH SILENT!

Jika anda masih ingat, tsunami pada tahun 2004, di Acheh dan tempias di semenanjung, berlaku tanpa di duga. Kehidupan seharian dilalui seperti biasa dan tiba-tiba ia datang dengan satu kejutan!

TSUNAMI KETAGIHAN PORNOGRAFI

Pasukan Ilusi Minda telah bersama dengan remaja belia di seluruh Malaysia lebih dari 1 dekad. Pengalaman di lapangan telah memberikan satu bentuk ilmu sosial yang sangat unik. IM pada mulanya menfokuskan isu sahsiah di kalangan remaja belia di sekolah-sekolah, IPT dan sebagainya. Akhirnya, IM telah mampu membaca corak atau pattern yang semakin ketara berlaku di kalangan remaja belia.

Pada awal penglibatan bersama remaja belia ini, isu ketagihan pornografi tidak begitu popular dan tidak ramai yang bercakap serta meluahkan bebanan ini. Tetapi sejak 5 tahun kebelakangan ini, luahan tentang pornografi mula memenuhi ruangan kertas luahan hati di kalangan remaja belia. Situasi ini adalah selari dengan populariti gadgets yang mudah didapati dan akses kepada internet yang sangat cepat.

PENGALAMAN YANG MENYAKITKAN

IM berpeluang bersama dengan remaja belia di sekolah khususnya, bertujuan untuk mendidik dan membina kesedaran baru tentang apa sebenarnya pornografi dan mengapa ianya bahan yang berisiko, telah mendapat tempat dan perhatian. Disinilah titik fokus utama IM muncul untuk membantu lebih ramai lagi remaja belia di Malaysia agar tahu dan sedar bahawa, pornografi bukanlah satu bahan yang boleh diambil ringan dan dianggap remeh.

Sepanjang pengalaman IM bersama remaja di seluruh Malaysia, ada dikalangan remaja mengatakan, pornografi;

1. Ia tidak ada masalah. Pilihan peribadi. Tidak memudaratkan
2. Membantu menghilangkan rasa stress di sekolah
3. Memberi pengetahuan dan kemahiran tentang seks
4. Ia adalah hiburan orang dewasa
5. Biasalah, semua orang tengok

dan macam-macam lagi persepsi mereka!

PORNOGRAFI TIDAK MENGAJARKAN APA-APA

Pornografi adalah satu penipuan. Ia tidak memberikan apa-apa kebaikan serta info tentang seks. Ia hanya mengajarkan peminatnya supaya menjadi

1. Ganas
2. Eksploitasi
3. Memperlakukan wanita khususnya dengan layanan yang paling buruk dan tidak perlu dihormati
4. Memalukan serta mengaibkan
5. Merendahkan martabat wanita sebagai insan

Idea inilah yang ada di dalam pornografi dan ia sudah menjadi sebati di dalam pemikiran dan kelakuan peminatnya.

KETAGIHAN DIKALANGAN REMAJA

IM berkesempatan menemui ramai remaja yang sudah memasuki zon ketagihan. Mereka bukan hanya terdedah, tetapi mereka sudahpun bergantung kepada pornografi. Situasi inilah yang dinamakan TSUNAMI KETAGIHAN yang telah datang ke sekolah, rumah dan telah merosakkan banyak perkara termasuklah diri sendiri, keluarga dan komuniti!

REMAJA LELAKI LEBIH RAMAI

Ilmu seksologi menyatakan, lelaki lebih mudah teransang dengan visual. Tidak hairanlah, mengapa pornografi ini lebih tinggi diminati oleh lelaki. Namun yang demikian, jika kanak-kanak lelaki yang berstatuskan abang kepada adik-adik perempuannya di rumah, sudah ketagihan dengan pornografi, adakah 'perempuan' yang ada di dalam rumah itu SELAMAT???