CALON SUAMI ANDA KETAGIHAN PORNOGRAFI?

Adakah soalan ini agak keterlaluan untuk ditanya? Jika anda (calon isteri), bertanya kepada calon suami, adakah anda boleh menerima situasi ini? Atau disebaliknya?

Apakah yang boleh kita lakukan untuk menuju kepada perubahan yang lebih baik? Memang tidak masuk akal atau tidak boleh nak diterima hakikat jika anda mengetahui calon suami ini terlibat dengan perkara yang keterlaluan!

Bagaimana mungkin, calon suami ini kelihatan baik, sopan, kuat beribadah, sejuk mata memandang. Tetapi dia mengakui akan kelemahan yang ada pada dirinya! Adakah anda seorang bakal isteri yang boleh memberi nilai tambah kepada kehidupan yang lebih baik? Atau anda mengharapkan lebih dari itu?

Ketagihan Bermula Dari Sekolah

Tsunami pornografi telah membinasakan ramai pengguna internet. Anda (bakal isteri) harus bersyukur jika tidak terkena libasan tsunami ini, tetapi hakikatnya, saat ini, dunia millenium, tidak sesiapa pun terkecuali KECUALI bagi mereka yang bersiap sedia! Berdasarkan kepada pengalaman pasukan Ilusi Minda di lapangan, sekolah dan di IPT, keputusan soal selidik menyatakan, pengalaman respondan lelaki dengan pornografi ialah TIDAK SENGAJA & ASAKAN SERTA CADANGAN RAKAN.

2 faktor besar ini sebenarnya memberi kesan yang sangat berpengaruh tinggi dan ia meninggalkan kesan yang cukup negatif tanpa disedari. Naluri seksual yang telah dirampas oleh pornografi di awal usia sebenarnya satu situasi naif dan sukar di kawal dan dijelaskan secara peribadi. Oleh sebab itulah, Ilusi Minda berkhidmat dan membantu mereka di luar sana agar bersiap sedia untuk menghadapi situasi ini!

Terima & Proses

Jika anda sebagai calon isteri, mengetahui bahawa calon suami anda ini terlibat dengan isu ini, dan dia juga mengharapkan bantuan untuk dibantu, maka itulah proses penyembuhan. Memang benar, bukan mudah untuk menerima situasi ini, namun, inilah yang sedang berlaku dan ada yang lebih dahsyat berlaku.

Situasi dahsyat seperti, lewat ketahui tentang tabiat ini pada suami dan ia terus menjadi rahsia gelap buat institusi perkahwinan yang dibina sehingga zuriat yang lahir turut merasai kehangatan serta pergelutan yang dilalui oleh penolakan pasangan (isteri).

Sedarlah, kesihatan seksualiti kita saat ini sering dicabar! Bersiap sedialah untuk anda mendidik dan melindungi zuriat akan datang ini dengan ilmu menjauhi pornografi dengan berterus terang. Ajari mereka yang mana buruk dan mana yang baik di awal usia! Usaha ini membantu anak-anak anda lebih bersedia!